Haji: Menapis Silap Tafsir

pada 30 Oktober 2009



Insya Allah, sebulan lagi kita akan menyambut Eid-ul Adha. Jika kita yang merayakannya di tanahair dapat merasai falsafahnya, saudara kita yang merayakannya dalam Hajj Akbar 1430H tentunya lebih menghayatinya.


Berbicara tentang Haji, saya turut tertarik dengan senario menunaikan Haji pada usia emas. Tiada salahnya, namun ada pilihan yang lebih baik untuk menunaikannya pada umur lebih muda. Pun begitu, isu usia emas bukanlah fokus saya.

Isunya ialah: mengapa begitu? Apakah asas penilaiannya? Apakah ini cerminan pegangan segelintir kita? Jika ya, apakah impaknya dalam proses pengintitusian Haji dalam kehidupan? dan 1001 persoalan selanjutnya akan menerjah benak kita…

Saya meninjau secara rawak, dan beranggapan bahawa `adat’ ini mungkin terbina daripada persepsi / tafsiran / hitungan / alasan yang tidak tepat, antaranya:

1. Silap tafsir kemampuan kewangan

- Syarat kemampuan kewangan membawa pelbagai hkmah, antaranya adalah membina individu ummah yang kukuh kewangannya. Ia bukan sebagai jalan keluar untuk mengelakkan Haji dengan alasan ketidakmampuan kewangan.

- Soalnya: Apakah dalam perancangan kewangan kita, fardhu Haji disasarkan sebelum menjangkau usia 30 / 35/ 40? Apakah cara perbelanjaan kita, yang mungkin tersasar daripada perancangannya dek kehendak mengatasi keperluan, mencerminkan komitmen kita untuk ibadah Haji?

2. Silap tafsir kesediaan spiritual

- Alasan-alasan seperti `belum bersedia / belum masanya / masih dalam proses penyucian jiwa / nak pastikan sedia untuk haji mabrur / masih muda’, dan 1001 seumpamanya lebih menggambarkan pemikiran / spiritual pasif.

- Soalnya: apakah kita benar-benar menyiapkan diri? Sampai bila? Adakah waktu diinjak usia emas, kita nyata bersedia? Ataupun, sempatkah kita?

3. Silap tafsir Haji sebagai penamat (bukannya pemacu)

- Mungkin kerana ibadah Haji memerlukan tempat dan kewangan khusus berbanding rukun Islam lainnya, ia dilihat sesuai bagi golongan warga emas, mungkin sebagai bekalan terakhir sebelum bertemu Allah. Sekali lagi, pemikiran / spiritual pasif diambil sebagai pegangan.

- Analogi mudah (walaupun mungkin kurang tepat): Haji sebagai pit-stop untuk isi minyak & tukar tayar, bukannya garisan penamat untuk lepaskan pedal minyak

~~~
3 contoh di atas merupakan antara silap tafsir yang berleluasa.
Jadi, soalan umumnya: mengapa kita memilih pendekatan pasif berbanding hikmah sebenar pensyariatannya yang mahukan kita proaktif? Kekadang, dalam contoh urusan lainnya, ada yang berkata: "sunat jer, takyah buat tak per" atau "makruh jer, buat pun tak per"
~~~

Pohon maaf kerana coretan kali ini tidak disokong sebarang nas bagi semakan rentas. Insya Allah ia diperhalusi jika ada kesempatan lain.